Thursday, January 20, 2011

Wednesday, January 16, 2008

Baru ku tahu

Semalam dan hari ini, baru ku tahu betapa susah nya 'career' baru ku ini, betapa banyaknya kerja yang perlu ku selesaikan, betapa kurangnya waktu yang tinggal untukku, betapa lambatnya otak ku bekerja. Baru ku tahu, betapa perlahannya aliran internet di opis ini, walhal kerja ku banyak memerlukan talian internet yang deras. Baru ku tahu, apabila meminta sesuatu dari orang bawah, paling cepat untuk dapat ialah keesokan harinya, ya baru ku tahu bagaimana boss lama ku dulu sabar menunggu apabila meminta dari ku.

Tugasan pertama ku bermula minggu depan. Sudah jenuh ku baca apa yang perlu, jenuh ku rujuk apa yang penting, tapi masih belum ku pasti apa yang perlu di isi. Kuharap ianya berjalan lancar, kuharap semuanya berpuas hati, kuharap dapat ku beri faedah berguna untuk semua. Tiap masa semakin berlambak kerja yang datang, makin tinggi nisbah 'belum siap' berbanding 'dah siap', tak dapat ku habiskan masa terlalu lama di ruang ini, tak dapat kucoret panjang setiap hari, hanya saat ini buat kali ini.

Sunday, January 13, 2008

tahun baru semua baru

Assalamualaikum

Alhamdulillah, tahun baru ini (1429H maksudku) bermulalah kamus hidup yang baru untuk ku. Sejak tahun baru 2008M lagi, telah bermula kamus hidup yang baru untuk ku coretkan. Bukan saja kelahiran blog ini yang pertamanya dalam hidup ku, malah tahun baru ini permulaan untuk alam pekerjaanku yang telah lama kutinggalkan. Ya, boleh dikatakan ini perkerjaan pertamaku kerana kali terakhir aku bekerja sepenuh masa ialah pada tahun 2000. Oh, bukan tidak ada aku lakukan kerja sambilan diantara 2001 hingga 2007, tetapi hanya untuk memenuhkan masa-masa terluang, untuk menambah sedikit kantung ku yang sentiasa kering-kontang.

Aku 'check-in' atau lebih enak didengar sebagai lapor diri pada 30 disember 2007 di tempat baru ini. Dua hari aku menanti untuk bertemu boss besar aku, semata-mata untuk tandatangan beliau, akhirnya pada 1 januari 2008 aku bertemu boss jabatan aku dan bermulalah episod baru ini. Aku ditempatkan di opis boss yang satu lagi (kerana bilik ni takde penghuni) untuk sementara. Dan aku diperkenalkan pada meeting pertama tahun baru 7 januari 2008. Terasa berharganya diri dan tidak sia-sia pengorbanan bertahun-tahun apabila boss memanggilku dengan panggilan keramat yang dah lama kunanti. Tahun baru ini menandakan hijrah baru untuk ku dari seorang yang kosong kepada seorang yang ada. Dari seorang penanti kepada seorang dinanti. Dari seorang yang tiada pendapatan kepada yang ada pendapatan, InsyaAllah, walaupun aku masih belum terima gaji pertama.

Buat masa ini, aku masih terkapai-kapai dalam alam pekerjaan. Masih banyak yang belum kufaham tentang sistem di sini. Masih banyak yang perlu kupelajari tentang selok belok di jabatan ini. Masih ramai yang perlu ku kenali. Masih banyak yang perlu ku tahu tentang tugasku di sini. Masih banyak yang perlu ku selidiki untuk maju di dalam profesyen baru ini. Kuharap, kehadiran blog baru ini dapat mencatit sedikit walau tidak semua diari hidup baru ku dalam menjana kemajuan.